Terbasuh jiwa
Terbinalah diri
Kerna keimanan menghubungkan manusia
Dengan Pencipta kepada hati
[Sinergi]
Orang yang beriman tidak akan melihat dosa itu sebagai satu perkara yang kecil. Dosa bagi orang beriman ibarat gunung yang menghempap. Hanya hati yang hidup sahaja mampu merasakan yang demikian. Allah berfirman di dalam Al-Quran bahawa orang yang beriman, apabila mendengar ayat-ayat Allah akan bergetar hati mereka.
Itu ayat-ayat Allah. Apatah lagi apabila kita berbuat satu perkara, mengingkari dan mengkhianati Allah. Tidakkah sewajarnya hati kita lebih berasa tidak senang?
إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ الَّذِينَ إِذَا ذُكِرَ اللَّهُ وَجِلَتْ قُلُوبُهُمْ وَإِذَا تُلِيَتْ عَلَيْهِمْ آيَاتُهُ زَادَتْهُمْ إِيمَانًا وَعَلَىٰ رَبِّهِمْ يَتَوَكَّلُونَ
"Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu ialah mereka yang apabila disebut nama Allah, gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka berserah" [Al-Anfal:2]
Hati yang Bermasalah
Bagaimana kalau kita tidak rasa apa-apa apabila berbuat dosa? Itu tandanya hati kita punya masalah. Orang yang hatinya punya masalah, akan menganggap dosa itu ibarat lalat yang hinggap pada hidung. Disangkanya ringan. Dikuis hilang. Akan tetapi, dosa bukan begitu.
Setiap dosa akan menumbuhkan bintik hitam dalam hati manusia menyebabkan hati manusia yang melazimi dosa semakin lama semakin keras. Akhirnya, hati boleh mati dan tidak lagi mahu mendengar peringatan.
Dosa tidak boleh dipandang mudah. Jika keredhaan Allah adalah matlamat manusia, maka kemurkaanNya adalah perkara pertama yang perlu dihindari. Justeru, dosa adalah musuh besar kepada manusia yang inginkan redha Allah.
Kita tidak boleh redha dengan diri kita apabila berbuat dosa. Sepatutnya setiap Mukmin perlu mendeklarasikan perang terhadap dosanya. Benci kepada dosa menyebabkan manusia tidak akan bergerak mendekatinya. Andai dia terjebak kepada dosa, maka dia akan bersegera membersihkannya.
Analogi Dosa
Kita perlu lihat dosa itu sebagai najis. Kita buang air besar, kita bersihkan punggung kita. Sebab apa? Geli, kotor dan macam-macam lagi keburukan najis. Siapa nak salam tangan kita kalau tangan kita terlekat tahi?
Macam itulah kita dengan dosa. Bayangkan dosa itu najis. Geli tak apabila dosa itu melekat pada tubuh kita? Kalau kita lihat begitu, pastinya kita bersegera mencucinya. Apakah Allah Yang Maha Mulia, Yang Maha Suci itu hendak melayan orang yang disalut dengan dosa? Sebab itu, bagi mereka yang tidak bergerak membersihkan dirinya, maka Allah memalingkan wajah-Nya daripada mereka ini, dan melemparkan mereka ke dalam neraka.
Menyampaikan Bukan Menghukum
Akan tetapi, ingatlah bahawa perkara ini hanya untuk menyedarkan diri kita sendiri. Jangan sesekali kita katakan kepada orang yang berdosa daripada kalangan kita bahawa mereka najis, kotor dan tidak dapat diselematkan lagi.
Jika kita berkata demikian kepada mereka, hakikatnya kitalah yang berdosa sebenarnya. Menghukum manusia bukan tugas kita. Itu tugas Allah. Tugas kita adalah menyampaikan. Berusaha menyampaikan apa yang Allah arahkan.
Berjaya menghabiskan ketiga-tiga buku buat kali kedua dalam masa seminggu setengah. Now, I really need new book(s) to be read for the rest of the holidays. Anyone wants to buy me new book?



